Rosli Abdul Jabar

BENTONG – Pelangai merupakan kubu Barisan Nasional (BN) di mana ia belum pernah dimenangi oleh mana-mana parti lain sebelum ini.

Namun kali ini, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar mendakwa kali ini BN kelihatan sangat mengelabah kerana PRK kali ini mereka berhadapan dengan penolakan rakyat khususnya orang Melayu.

”Walaupun BN menggunakan sebahagian agensi kerajaan untuk membuat pelbagai program bagi tujuan menarik kehadiran masyarakat tempatan namun dimaklumkan tidak mendapat sambutan.

”Rakyat Pelangai sepertinya memberikan isyarat bahawa mereka akan melakukan perubahan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Rosli mendakwa BN juga berhadapan dengan ketakutan yang teramat sangat apabila ada penceramah mengatakan kemungkinan ada Ahli Dewan Undangan Negeri dari BN-PH mahu melompat kepada PN.

”Dato Seri Wan Rosdy (Wan Ismail) segera menghimpunkan wakil rakyat mereka untuk ikrar kesetiaan kerana kalau benar maka kerajaan negeri bawah pimpinan beliau akan tumbang.

”BN hadapi krisis hilangnya keyakinan rakyat setelah presidennya pernah bersumpah diatas nama Allah bahawa ’No Anwar, No DAP’, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,,” katanya.

Jelasnya, UMNO dilihat oleh orang Melayu sebagai parti yang mengkhianati perjuangan orang Melayu kerana mereka tidak dapat menerima DAP.

”Semalam Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi keluarkan kenyataan bahawa ada ADUN PH akan menyertai PH-BN, mungkin respon dari isu bahawa ada ADUN BN akan melompat parti, tak perlu kami nak gelabah sampai buat ikrar pulak,

”Saya yakin bukan sahaja kami ADUN PN dan rakyat tak percaya dengan kenyataan Zahid, entah-entah Zahid sendiri pun tak percaya apa dia cakap,” selorohnya. – MalaysiaGazette