Jurulatih Dodgeball, Terence Ee Soon Lee didakwa hari ini atas pertuduhan gangguan seksual terhadap pelajarnya ketika di Mahkamah Majistret 3 Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 6 OKTOBER 2023.

PETALING JAYA – Seorang jurulatih dodgeball mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menanggu kesantunan dengan menjentik kemaluan dua murid lelakinya pada November tahun lalu.

Tertuduh, Terence Ee Soon Lee, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati mengganggu kesantunan anak muridnya berumur 11 tahun dengan menjentik kemaluan dan mencucuk lubang punggung menggunakan kayu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menjentik kemaluan seorang lagi murid berusia 11 tahun pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah dewan sekolah rendah vernakular di Damansara, di sini pada jam 2 petang hingga 2.30 petang pada November dan Disember 2022.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua kesalahan, dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh menggangu mangsa dan saksi.

“Tertuduh merupakan jurulatih sukan sekolah itu dan dituduh melakukan kesalahan tersebut ketika latihan dodgeball dijalankan.

“Pendakwaan dimaklumkan bahawa tertuduh telah ditamatkan perkhidmatan di sekolah berkenaan” katanya.

Peguam tertuduh, Datuk Thrichelvam Rasiah merayu jaminan dikurangkan sebanyak RM6,000 bagi kedua-pertuduhan itu.

“Tertuduh merupakan jurulatih Dodgeball Selangor memohon ikat jamin dikurangkan kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar jaminan berikutan dipanggil oleh pihak pendakwa pada masa yang singkat (petang semalam),” ujarnya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan diikat jaminan sebanyak RM3,500 bagi kedua- dua pertuduhan beserta syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 29 November depan

Sebelum ini, media melaporkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum kontroversi gangguan seksual oleh jurulatih dodgeball melibatkan beberapa murid di sekolah tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, laporan polis berhubung kejadian tersebut telah pun dibuat. – MalaysiaGazette