KUALA LUMPUR – Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk berjumlah 70.2 peratus dengan langganannya berjumlah 2.49 juta dan kadar penembusan sebanyak 7.4 peratus sehingga bulan lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan yakin negara kini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 80 peratus liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk pada akhir tahun ini.
Kata beliau, ia sebelum liputan 5G beralih daripada rangkaian tunggal kepada model dwi rangkaian.
“Penggunaan teknologi 5G bagi mengubah permainan yang berpotensi untuk meningkatkan ekonomi negara kita dengan ketara bagi mewujudkan peluang dalam memacu inovasi, meningkatkan produktiviti dan memupuk usaha niaga baharu.
“Ia juga menjadi kesalinghubungan yang lebih pantas dan dipercayai bagi memperkasakan perniagaan untuk menyelaraskan operasi, membangunkan perkhidmatan baharu dan mengembangkan jangkauan mereka, baik di peringkat tempatan mahu pun global.
“Selain itu, peningkatan kecekapan dan keberkesanan yang ditawarkan 5G menghasilkan penjimatan kos dan daya saing yang lebih baik, akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran untuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Rangkaian Peribadi 5G Komersial Pertama di Malaysia oleh Petronas, di sini, sini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Pelaksanaan Rangkaian Persendirian 5G PETRONAS itu menjadi bukti komitmen Malaysia untuk kekal di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi.
Menurutnya, sebagai peneraju nasional dan pemain global yang terkemuka dalam sektor tenaga, Petronas menunjukkan standard yang tinggi dengan mengiktiraf potensi transformatif 5G.
“Dengan melaksanakannya, Petronas bukan sahaja mengoptimumkan operasi dalamannya tetapi juga memangkin perubahan seluruh industri.
“Dalam usaha kami memanfaatkan teknologi untuk inovasi dan kemajuan masyarakat, Malaysia perlu kekal komited terhadap pelaburan yang besar dalam infrastruktur ketersambungan digital.
“Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan mudah alih untuk menggunakan rangkaian kendiri 5G bagi memupuk lebih banyak pembangunan kes penggunaan merentas industri di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette