SEMPORNA – Seorang pelancong lelaki warga China yang hilang ketika menjalankan aktiviti snorkeling petang semalam, ditemukan lemas di kawasan perairan sebuah resort di Pulau Bum Bum, dekat sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna, Noor Jali Maslah berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Lin Jun Yong, 25, ditemukan pasukan bomba pada 10.28 pagi selepas menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa menggunakan kaedah surface searching.
“Bomba menerima panggilan daripada polis pada 8.27 pagi tadi mengenai mangsa dikhuatiri hilang di laut semasa menjalankan aktiviti snorkeling di kawasan perairan resort sejak semalam,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa pada 8.37 malam tadi oleh pengurus resort.
“Mangsa bersama rakannya melakukan aktiviti snorkeling di hadapan resort yang berjarak antara 10 hingga 15 meter dari jeti resort pada 4.30 petang dan mereka tidak memakai jaket keselamatan kerana beranggapan pandai berenang.
“Pada 5.15 petang rakan mangsa naik semula ke jeti resort kerana tidak melihat mangsa di laut, rakan mangsa yang juga seorang lelaki warga China kemudian bertemu pengurus resort seterusnya pencarian dilakukan di sekitar resort namun mangsa tidak ditemui,” katanya.
Mohd Farhan berkata, siasatan awal mendapati berlaku kejadian air pasang dengan kedalaman air kira-kira 3 meter ketika mangsa bersama rakan melakukan aktiviti snorkeling dengan jarak kedua-dua mereka antara 5 hingga 20 meter.
“Mangsa ditemukan terapung di laut lebih kurang 30 meter dari jeti resort hari ini,” katanya yang turut mengingatkan pengusaha pelancongan memastikan pelancong memakai jaket keselamatan serta memantau mereka ketika melakukan aktiviti laut selain memastikan kamera litar tertutup berfungsi.
Dalam pada itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli dalam kenyataan lain berkata pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) mangsa pada 12.35 tengah malam tadi dan membuka pangkalan hadapan carilamat di Jeti Pelancong Bangau-Bangau di sini.
Katanya, kawasan carilamat meliputi 32 batu nautika persegi sekitar perairan Pulau Bum Bum dan dua aset APMM diatur gerak bagi mencari mangsa. – Bernama