MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima kemasukan seramai 2,530 pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda sesi 2023/2024, pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Program Ijazah Sarjana Muda baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, jumlah kemasukan pelajar tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding sebanyak 2,043 yang hadir mendaftar pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi 2022/2023 yang lepas.
Jelasnya, corak peningkatan jelas memperlihatkan pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi mula menjadi perhatian dan pilihan bagi mereka melanjutkan pengajian.
“Pada masa yang sama trend ini menggambarkan UTeM terus menjadi pilihan lepasan matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.
“Seramai 820 pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).
“Manakala seramai 612 pelajar lagi mengikuti pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya bagi pelajar yang mendaftar mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) pula seramai 596 orang.
“Selebihnya mendaftar bidang Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) pula seramai 502 orang.
“Proses pendaftaran pelajar dilaksanakan secara sistem bersepadu yang efisien dan efektif di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, kecemerlangan UTeM dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi dalam dan luar negara menjadikan universiti ini antara insititut pengajian tinggi (IPT) yang menjadi pilihan utama pelajar.
“Kadar kebolehpasaran graduan berprestasi tinggi serta global yang menjadi buruan majikan melonjakkan UTeM sebagai destinasi utama gerbang pengajian tinggi teknikal pilihan ramai,” ujarnya.
Minggu Haluan Siswa (MHS) pula diadakan bermula Isnin hingga Jumaat (2 hingga 6 Oktober) bersama pelajar baharu diploma yang mendaftar pengajian di universiti berkenaan pada Ogos lalu.- MalaysiaGazette