Ahmad Maslan

BENTONG – Peratusan keluar mengundi yang tinggi memberikan isyarat bahawa Barisan Nasional (BN) seakan kekal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, kata Datuk Ahmad Maslan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut percaya peratusan keluar mengundi akan terus meningkatkan berbaki sejam daripada tempoh pintu pusat pengundian ditutup jam 6 petang nanti.

“Ini kawasan BN, pengundi tinggi, jadi BN menang.

“Anak muda pun bukan semua undi mereka (Perikatan Nasional),” katanya ketika ditemui di Felda Chemomoi, petang tadi. 

Setakat jam 4 petang tadi, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memberitahu peratusan terkini keluar mengundi adalah 69 peratus.

Keputusan penuh dan jumlah keseluruhan keluar mengundi hanya akan diumumkan secara rasmi setelah semua peti undi selesai proses pengiraan.

Seramai 16,456 pengundi bakal menentukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu menerusi PRK DUN Pelangai, hari ini.

PRK kawasan itu perlu diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Pertandingan merebut kerusi tersebut menyaksikan persaingan tiga penjuru apabila Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Kasim Samat yang juga bekas calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Manakala, BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam dan seorang lagi calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga bertanding. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast