BENTONG – Inilah anak Pelangai sebenar!
Mengambil semangat nama kampungnya sendiri, Muhamad Anilzan Pelangai Ramli, 38, tidak berfikir panjang untuk pulang ke kampungnya bagi menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memilih wakil rakyat baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Menetap di Mutiara Damansara, Anilzan bertolak ke kampung awal pagi tadi dan sampai di Pelangai pada jam 10.30 lalu terus mengundi di Sekolah Pelangai Kampung Jawi-Jawi di sini hari ini.
Katanya, dia akan berada di kampung sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pemenang pada malam ini.
“”Saya telah menunaikan tanggunjawab mengundi calon pilihan raya bagi membantu pembangunan di Pelangai.
“Walaupun perjalanan balik mengambil masa, tapi PRK jarang berlaku. Jadi saya balik untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat, kepada keluarga dan rakan-rakan yang berada di Pelangai ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Anilzan berkata, PRK Pelangai adalah pengalaman ketiga dia mengundi.
Beliau mengakui terasa perbezaan bahang PRK dan PRU15 yang lalu kerana terpaksa menunggu lebih sejam untuk mengundi.
Anilzan mempunyai sembilan beradik tetapi hanya dia seorang yang mempunyai nama Pelangai.
“Nama ni diberi oleh ayah,” katanya ketika ditanya tentang keunikan nama itu.
Sebagai anak jati Pelangai, Anilzan sangat berharap kawasan itu mendapat pemimpin terbaik yang akan memacu pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan buat penduduk di sini. – MalaysiaGazette