BENTONG – Teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Pelangai mendorong Ahmad Amir Daniel Ahmad Yumazaki keluar awal.
Ahmad Amir, 24, berkata, dia sanggup sanggup bangun seawal jam 6 pagi untuk bersiap-siap ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chemomoi bagi menunaikan tanggungjawab itu.
“Saya bangun jam 6 pagi untuk keluar mengundi. Saya rasa waktu pagi ini lebih segar untuk kita keluar rumah berbanding petang dengan panas lagi.
“Saya pilih pagi sebab nak memudahkan urusan,” katanya kepada media sebaik selesai mengundi jam 9.30 pagi tadi.
Ahmad Amir antara pengundi awal yang menunaikan tanggungjawab beliau buat kali pertama di sekolah berkenaan.
Pekerja swasta itu berkata, perjalanan mengundi hari sangat lancar dengan hanya mengambil beberapa minit sahaja.
“Sampai ke saluran saya pun sangat lancar dan tidak mengambil masa yang lama. Saya menetap di Petaling Jaya dan sanggup balik kampung untuk mengundi,” tambahnya.
Dalam pada itu, Nur Ifa Irmanina, 21, berharap agar pengundi muda dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Kepada semua generasi ketiga Felda, keluarlah mengundi walaupun satu undi pun berharga.
“Kalau keluar mengundi pagi, tidak ramai sangat dan perjalanan lancar. Kalau tengah hari beratur panjang dalam panas,” katanya.
Sejumlah 16,456 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi di PRK DUN Pelangai.
Sebanyak sembilan pusat mengundi membabitkan 30 saluran akan dibuka hingga 6 petang, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul.
PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari Barisan Nasional; Naib Yang Dipertua Pas Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon bebas yang menggunakan simbol kereta. – MalaysiaGazette
Jom ramai2 pakat undi PN, parti masa depan negara yang lebih gemilang.