Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam sentimen berhati-hati minggu depan berikutan pelabur menunggu kejelasan lanjut daripada data stok dan eksport terkini.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata, pasaran memantau dengan teliti anggaran pengeluaran Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yang dipercayai untuk mengukuhkan idea pengeluaran.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga akan mengeluarkan laporan prestasi industri untuk September 2023 pada Selasa (10 Okt).

Anilkumar berkata, petunjuk baru-baru ini oleh UOB Kay Hian menunjukkan pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat lima hingga sembilan peratus bulan ke bulan pada bulan lepas, lebih tinggi daripada anggaran pasaran sebelumnya iaitu peningkatan dua hingga lima peratus.

Bagi tempoh lima hari pertama bulan Oktober, Intertek Testing Services menganggarkan eksport minyak sawit Malaysia dalam tempoh tersebut sebanyak 159,820 tan, merosot 15.57 peratus daripada 189,285 tan yang diunjurkan untuk tempoh 1-5 Sept.

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan rendah berikutan pelabur menilai pelbagai petunjuk penawaran dan permintaan untuk bulan lepas dan awal Oktober, termasuk pergerakan pasaran niaga hadapan minyak kacang soya dan harga minyak mentah.

Berita mengenai pelan kerajaan untuk memperluas program biodiesel B10 dan cadangannya untuk mengurangkan levi keuntungan luar biasa menggalakkan belian pada pertengahan minggu sebelum pasaran merosot berikutan bimbang mengenai permintaan.

Pada Jumaat, penanda aras niaga hadapan MSM merosot kepada paras terendah dalam tempoh lebih tiga bulan.

Pada asas mingguan, kontrak Oktober 2023 berkurangan RM127 kepada RM3,562 satu tan, November 2023 susut RM159 kepada RM3,573 satu tan dan Disember 2023 merosot RM167 kepada RM3,600 satu tan.

Januari 2024 berkurangan RM162 kepada RM3,636 satu tan, Februari 2024 merosot RM153 kepada RM3,672 satu tan dan Mac 2024 susut RM150 kepada RM3,692 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan, bagaimanapun, naik kepada 293,575 lot daripada 264,271 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 293,575 kontrak daripada 221,984 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan berkurangan RM120 kepada RM3,600 satu tan daripada RM3,720 satu tan pada minggu sebelumnya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast