Muhamad Arif Affifudin Ab Malik. Foto Majlis Sukan Negara.

KUALA LUMPUR – Karate menyumbang pingat emas keenam kontinjen negara di Sukan Asia 2022 Hangzhou apabila Muhamad Arif Affifudin Ab Malik mengungguli acara kumite 84 kilogram (kg) hari ini.

Beraksi kali pertama di Sukan Asia jelas tidak menghalang atlet berusia 23 tahun itu menewaskan lawan dari Kazakhstan yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018, Daniyar Yuldashev pada aksi final di Gimnasium Pusat Sukan Linping.

Muhamad Arif yang juga pemenang pingat perak Sukan SEA 2019 meraih kemenangan 10-4 ke atas Daniyar yang sebelum ini memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 2018.

Pada aksi separuh akhir, Muhamad Arif memadam cabaran atlet dari Korea Selatan, Baek Junhyeok dengan keputusan 5-2 selepas meraih kemenangan sengit 4-3 ke atas atlet Indonesia, Sandi Firmansyah pada aksi suku akhir.

Sementara itu, dua lagi atlet karate negara menerima nasib yang berbeza selepas masing-masing kandas sekali gus gagal meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya.

Bagi kumite bawah 67kg, S Prem Kumar tumbang 8-0 di tangan atlet dari Kazakhstan, Amarali Didar 8-0 dan terlepas peluang beraksi di pusingan ‘repecharge’.

Langkah P Madhuri pula tersekat di pusingan 16 apabila tewas di tangan atlet dari Jordan, Mansour Leen bagi kategori bawah 55 kg.

Madhuri gagal mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya apabila tumbang 2-11 di tangan lawannya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast