Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) belum mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenai cadangan menutup sekolah di Melaka biarpun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap 163, kategori tidak sihat hari ini.

MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) belum mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenai cadangan menutup sekolah biarpun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 163 hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, bagaimamanapun, kedua-dua pihak sentiasa memantau perkembangan IPU dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

“Belum (tutup sekolah) bila ada berlaku IPU sampai ke peringkat merah (bacaan lebih 200) barulah akan ada perbincangan.

“Tapi buat masa ini nampaknya IPU takkan pergi ke tahap itu dan insyaAllah tidak perlu (cadangkan tutup sekolah),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelepasan Nyamuk Aedes Dewasa Berwolbachia di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), semua tiga stesen di Melaka iaitu, Bandaraya Melaka, Bukit Rambai dan Alor Gajah merekodkan bacaan IPU tidak sihat melebihi 103 bermula 12 tengah malam tadi.

Bacaan paling tinggi adalah Bukit Rambai yang menyaksikan IPU meningkat sehingga mencapai bacaan 163 setakat 11 pagi tadi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 di kategori sebagai (baik) dengan warna biru; 51 hingga 100 (sederhana-hijau), 101 ke 200 (tidak sihat-kuning), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat-jingga) 300 ke atas (bahaya-merah). – MalaysiaGazette