CUEPACS Melayu gaji Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar kerajaan menaikkan gaji anggota berpangkat konstabel kepada kadar minimum RM1,500 sebulan.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, CUEPACS senada dengan permintaan yang dikemukakan PDRM bahawa gaji yang diterima anggota berpangkat rendah adalah kecil.

Menurut beliau, selain itu, ia tidak setimpal dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutamanya bagi mereka yang bertugas di bandar besar dan situasi yang sama dihadapi kebanyakan penjawat awam.

“Kenaikan gaji secara tambahan sebanyak RM300 perlu diberikan bagi membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa.

“Kenaikan gaji sebanyak RM300 ini juga boleh meningkatkan gaji bersih serta memberi kelegaan kepada penjawat awam sementara menunggu tempoh sistem saraan baharu dilaksanakan pada 2025,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain semalam bahawa PDRM mencadangkan kepada kerajaan supaya skim gaji permulaan bagi Konstabel (YA1) sebanyak RM1,441 diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.

Beliau memberitahu, daripada sudut perkhidmatan kepolisan, langkah menyemak semula skim gaji dapat membantu usaha melahirkan perkhidmatan awam yang bersih, cekap serta tidak lagi dibayangi elemen rasuah.

“Apabila keadaan gaji semakin baik kita yakin walaupun anggota polis terpaksa bekerja 200 hingga 300 jam sebulan, tempoh yang cukup lama tanpa kerja lebih masa, meninggalkan kediaman, keluarga yang tidak terurus dan sebagainya, ia berbaloi dengan gaji yang diterima.

“Apa yang dimohon CUEPACS baru-baru ini adalah permohonan menyeluruh untuk semua penjawat awam dan menyokong penuh cadangan Ketua Polis Negara supaya kerajaan menyemak semula gaji anggota polis berpangkat rendah dan menengah,” jelasnya.

Adnan menambah, cadangan PDRM yang mengesyorkan kerajaan menyemak semula skim gaji pegawai dan anggota polis ketika ini adalah senada dengan tuntutan yang diperjuangkan oleh CUEPACS.

Beliau berkata, CUEPACS baru-baru ini telah memohon kepada kerajaan supaya menaikkan gaji penjawat awam sebanyak RM300 dalam pembentangan Belanjawan 2024.

“Kenaikan gaji itu perlu diberikan bagi membantu penjawat awam termasuk anggota PDRM menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa, sementara menunggu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan pada 2025,” katanya. – MalaysiaGazette