Gambar hiasan.

HERAT, Afghanistan – Sekurang-kurangnya 120 orang terbunuh manakala kira-kira 1,000 lagi cedera apabila gempa bumi menggegarkan Herat, Afghanistan dan wilayah barat lain, Xinhua memetik seorang pegawai tempatan dari Herat memberitahu wartawan.

Kira-kira 1,000 orang yang cedera telah dibawa ke hospital di ibu negeri wilayah bandar Herat, kata pegawai itu, sambil menambah 12 kampung di daerah Zindajan dan Ghorian di Herat musnah akibat gempa bumi, kata pengarah wilayah Herat untuk Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Alam negara, Mawlawi Musa Ashari.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China, dua gempa bumi dengan magnitud 6.2 menggegarkan Afghanistan pada Sabtu.

Terdahulu, satu kenyataan dari Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Alam negara itu mengatakan 15 orang maut dan 40 cedera, tetapi penduduk tempatan percaya jumlah mangsa terbunuh mungkin lebih tinggi.

Kenyataan itu menambah bahawa angka kematian mungkin meningkat kerana tiada laporan diterima dari wilayah Badghis dan Farah.

Gempa bumi itu berlaku sekitar 11.10 waktu tempatan (0640 GMT), memaksa penduduk keluar dari rumah mereka, kata penduduk tempatan.

Banyak rumah telah rosak atau musnah sepenuhnya akibat gempa tersebut, menurut kenyataan itu.

Pasukan penyelamat telah dihantar ke kawasan yang terjejas, dan pegawai berkaitan telah diarahkan untuk menyelaraskan usaha dengan agensi bantuan untuk membekalkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas. – Bernama-Xinhuaa