Tentera pejuang Hamas. Gambar hiasan

GAZA – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) telah menangkap sebilangan tentera Israel dan mengesahkan ia cukup untuk menukar dengan semua rakyat Palestin yang ditahan secara haram di penjara Israel.

Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Saleh al-Arouri berkata, pasukan pejuang telah membawa jumlah tawanan Israel yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam operasi yang dilancarkan awal pagi semalam dari Semenanjung Gaza ke wilayah yang diduduki.

“Tahanan kami di penjara (Israel), ruang kebebasan mereka semakin besar. Apa yang kami ada akan membebaskan semua tahanan Palestin,” kata Arouri, sambil menambah bahawa beberapa pegawai kanan Israel adalah antara tawanan.

Gerakan Hamas berjaya menyusup masuk ke wilayah yang menjadi kubu kuat di bawah pendudukan Israel, selepas kumpulan pejuang melepaskan beribu-ribu roket ke kawasan tersebut.

Arouri berkata, Hamas bersedia untuk memperluaskan perang dengan Israel sambil menegaskan bahawa pertempuran berterusan akan membolehkan kumpulan itu menawan lebih ramai warga Israel.

“Semakin lama pertempuran berterusan, semakin tinggi bilangan tahanan,” katanya kepada Al Jazeera.

Hamas berulang kali menegaskan, pembebasan rakyat Palestin dalam penjara haram Israel adalah antara keutamaan gerakan itu.

Anggaran NGO hampir 5,200 rakyat Palestin berada di penjara Israel dengan wanita dan kanak-kanak bawah umur adalah jumlah terbesar.

Israel melancarkan serangan ke atas Gaza selepas pelancaran Operasi Taufan al-Aqsa Palestin pada Sabtu.

Hamas berkata, Taufan al-Aqsa adalah tindak balas kepada tindakan penghinaan berulang oleh pencerboh Israel terhadap Masjid al-Aqsa, sebuah tapak suci umat Islam yang terletak di kota al-Quds yang diduduki.

Sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin terbunuh. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast