ADUN Pelangai baharu, Datuk Amizar Abu Adam beramah mesra bersama penduduk selepas diisytiharkan sebagai pemenang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai ketika di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 08 OKTOBER 2023.

BENTONG – Biarpun belum mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang baharu, Datuk Amizar Abu Adam sudah pun mendapat pelbagai permohonan daripada rakyat sekitar.

Amizar berkata, kebanyakkan surat permohonan tersebut diberikan pengundi-pengundi ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai diadakan sejak 23 September lagi.

“Bukan hari ini saja tapi dah bermula daripada berkempen lagi. Cuma masa berkempen tak bolehlah (beri sumbangan).

“Alhamdulillah selain daripada surat-surat saya juga terima (permohonan) melalui WhatsApp.

“Kita menyantuni dan menyelesaikan apa yang mereka perlukan,” katanya kepada media selepas mengadakan ziarah kasih di sekitar Felda Chemomoi, pagi ini.

Amizar diumumkan sebagai pemenang PRK DUN Pelangai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi dengan mendapat majoriti 2,949 undi.

Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Cikgu Kasim Samat yang hanya menerima 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli yang hilang deposit hanya mendapat 47 undi.

Amizar berkata, manifesto beliau untuk mewujudkan kemudahan stesen minyak di Simpang Pelangai kini dalam peringkat rundingan.

Tambah Amizar, dengan kewujudan stesen minyak berkenaan ia akan menjadi nilai tambah kepada pembangunan ‘Pelangai Gateaway’ seperti yang dihasratkan.

“Di situ nanti, salah satunya kita akan dapat sekolah tahfiz di bawah Yayasan Prihatin Pahang dan di situlah tempat yang kita akan buat Mini Township.

“Township ini dilhamkan oleh Allahyarham (Datuk Seri Johari Harun. insya-Allah kita akan teruskan rancangan dan kini ia dalam peringkat perbincangan dengan pihak Majlis (perbandaran Bentong),” katanya.

Dalam pada itu, Amizar berkata sentuhan Allahyarham Datuk Seri Johari akan tetap dipelihara malah akan diteruskan.

Amizar berkata, ini penting kerana beliau tidak mahu legasi yang ditinggalkan Johari dilupakan oleh pengundi-pengundi Pelangai.

“Insya Allah kita akan dapat melihat beberapa sentuhan sentuhan Allahyarham Datuk Seri Johari dan kita dapat lihat juga diterjemahkan secara realiti supaya dapatlah masyarakat dapat menikmati apa yang diilhamkan.

“Saya akan meneruskan legasi dan menambah sedikit serba sedikit bagi memastikan perkara perkara baru juga boleh diletakkan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kesediaan beliau sekiranya berlaku petisyen bantahan terhadap kemenangan beliau di Pelangai, Amizar berkata, beliau terbuka ia adalah hak demokrasi.

“Tapi saya yakin dan percaya bahawa BN dan kita sendiri menjalankan kempen mengikut undang undang,” katanya.

Untuk rekod, BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.

Keputusan itu menyaksikan majoriti diperolehi merosot berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun. – MalaysiaGazette