KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengadakan solat hajat bagi menyatakan solidariti dan mendoakan keselamatan rakyat Palestin.
Naib presidennya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, solat hajat itu juga dibuat sebagai tanda bantahan terhadap tindakan zalim regim zionis yang merampas bumi Palestin.
“Kita akan adakan solat hajat pada Jumaat ini, selepas solat Isyak. Insya-Allah lokasi solat hajat akan dibuat di Shah Alam.
“Selain solat hajat, satu ceramah juga akan dibuat selepas itu. Sebarang info lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyeru orang ramai untuk hadir dan bersama-sama mendoakan kesejahteraan buat seluruh penduduk Palestin.
Katanya, ia penting sebagai signal kepada dunia bahawa Malaysia kekal dengan pendirian menyokong Palestin.
“Rakyat Malaysia harus bangkit menyatakan penegasan sokongan penuh kepada rakyat Palestin dalam usaha membebaskan negara itu daripada terus dijajah dan kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara.
“Ia selari dengan hadis Nabi SAW, barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.
“Walaupun rejim zionis mendapat sokongan kuasa besar dunia, namun jangan lupa rakyat Palestin mendapat sokongan dari seluruh umat Islam di seluruh dunia,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette