Amir Hamzah

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) menggesa kerajaan memberi penumpuan serius terhadap nasib lebih 500,000 pelajar tempatan yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melalui
Belanjawan 2024 yang bakal dibentang pada 13 Oktober ini.

PKIBM berharap Belanjawan 2024 yang berteraskan Memperkasa Ekonomi MADANI ini akan bersifat lebih inklusif dan mesra mahasiswa memandangkan lebih separuh daripada keseluruhan pelajar dalam ekosistem pendidikan tinggi berada di 403 buah IPTS di seluruh negara, kata presidennya, Amir Hamzah Md. Isa.

“Sehubungan itu, sebagai sebuah persatuan nasional yang menaungi 54 buah institusi pengajian tinggi tinggi (IPTS) bertaraf universiti, kolej universiti dan kolej milikan Bumiputera di seluruh negara yang cakna dengan keperluan dan permasalahan pelajar-pelajarnya, PKIBM dengan ini menggesa kerajaan memperluaskan kadar pembiayaan penuh 100 peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua pelajar dalam kategori M40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Amir Hamzah, berdasarkan dasar semasa, pelajar dari keluarga M40 hanya ditawarkan pembiayaan pada kadar 75
peratus.

“Pembiayaan penuh RM4,000 untuk satu semester bagi pengajian peringkat diploma kepada pelajar dalam kelompok keluarga M40, sama seperti dinikmati pelajar dari keluarga B40 bukan sahaja meringankan bebanan ibu bapa tetapi pada masa sama, menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan akses lepasan sekolah ke pendidikan tinggi,” ujarnya.

PKIBM juga memohon kerajaan supaya memperluaskan tawaran pinjaman pendidikan MARA kepada ribuan pelajar bumiputera berkelayakan yang menuntut di IPTS bertaraf kolej milikan bumiputera berstatus cemerlang (MyQUEST 2022–Berdaya Saing) yang menawarkan program-program pengajian peringkat diploma dalam kategori kritikal.

Berdasarkan statistik semasa dan pengalaman lepas, pelajar bumiputera dari keluarga B40 dan M40 dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang baik dan sederhana lebih cenderung mengikuti program diploma kerana tempoh pembelajaran yang singkat dan graduan dalam bidang-bidang kritikal berkenaan lebih menjadi pilihan industri dan mudah mendapat pekerjaan selepas bergraduat.

“PKIBM juga menggesa kerajaan memperluaskan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk mahasiswa universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kepada pelajar yang sedang menuntut di IPTS.

“Ketika ini, hanya mahasiswa di universiti awam, pelajar politeknik, kolej komuniti, pelajar matrikulasi serta institut pendidikan guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ditawarkan bantuan subsidi berkenaan,” katanya.

Walaupun sektor pendidikan tinggi swasta telah diakui sebagai industri strategik negara kerana menyumbang RM31.5 bilion kepada pendapatan dan ekonomi negara, ia bagaimanapun tidak pernah menerima suntikan dan insentif kewangan secara langsung daripada kerajaan berbanding sektor/ industri utama lain, katanya lagi.

PTS hakikatnya berdiri sendiri termasuk perbelanjaan pembangunan serta mengurus dan sebahagian besar institusi hanya bergantung kepada yuran pelajar yang mendaftar. Penurunan mendadak kadar kemasukan pelajar baharu sejak dua
tahun kebelakangan ini secara relatifnya, telah menjejaskan aliran tunai institusi yang terlibat.

Justeru, kerajaan melalui Belanjawan MADANI kedua ini digesa untuk membantu dan menyokong kelangsungan IPTS Bumiputera untuk kekal beroperasi sekali gus menawarkan pendidikan terbaik melalui pendekatan seperti menawarkan skim pembiayaan mudah kepada IPTS Bumiputera yang berkelayakan yang masih terkesan dengan pelbagai ketidaktentuan pasca-pandemik Covid-19 sebelum ini.

Pembiayaan menerusi Skim Pembiayaan Mudah Jaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (SPiM PENJANA) yang ditawarkan oleh MARA dengan jumlah maksimum RM5 juta sebelum ini nyata telah membantu banyak IPTS Bumiputera dan ia wajar diteruskan secara bersasar.

Selain itu Insentif Pelan Digitalisasi IPTS perlu diperkenalka bagi meningkatkan keupayaan proses pengajaran, meningkatkan infrastruktur dan kemudanan internet di kampus dan pusat pembelajaran.

Perlaksanaan insentif ini akan melonjakkan keupayaan IPTS mempertingkatkan kualiti kandungan pengajaran, prasarana internet, membudayakan pengajaran dan pembelajaran secara digital / online sekali gus menjadikan IPTS lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa dan memberi peluang institusi menjana semula pendapatan yang merosot teruk sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast