Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUIR – Perkhidmatan rangkaian 5G kini mencapai 70.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, peratusan tersebut adalah berdasarkan rekod sehingga 30 September 2023.

Tambah beliau, sebanyak 5,873 tapak 5G juga sudah siap dibangunkan sehingga tempoh sama.

“Sehingga 30 September 2023, sebanyak 5,873 tapak 5G telah siap dibangunkan, di mana perkhidmatan 5G telah mencapai 70.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk setakat 30 September 2023.

“Bagi jumlah langganan, sebanyak 2.49 juta langganan telah direkodkan, bersamaan 7.4 peratus kadar penembusan.

“Sehingga kini enam syarikat pemberi perkhidmatan mudah alih telah menawarkan pelan komersial 5G.

“Tambahan, untuk makluman Yang Berhormat Titiwangsa (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) pada 31 Ogos lalu, kerajaan telah mengumumkan pakej 5G Rahmah.

“Sukacita saya memaklumkan, dalam tempoh sebulan antara 31 Ogos, hingga hujung September. Terdapat 50,991 orang yang telah melanggan dengan pakej 5G Rahmah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN – Titiwangsa) yang bertanya perkembangan terkini perkhidmatan rangkaian 5G di Malaysia.

Menurutnya, perkembangan tersebut membuktikan pelaksanaan rangkaian 5G kini sedang giat dijalankan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) demi memastikan sasaran menyiapkan 7,509 tapak 5G di seluruh negara dengan 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk penghujung tahun ini mencapai sasaran.-MalaysiaGazette