Gambar tular mengatakan Ikmal menghisap vape di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat digesa memanggil dan menegur jurugambar Perdana Menteri yang bertanggungjawab menularkan gambarnya yang kononnya menghisap vape baru-baru ini, kata Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Ahli Parlimen Tanah Merah itu (PN) itu berkata, tindakan berkenaan penting sebagai pengajaran kepada jurugambar tersebut selepas dirinya terbukti tidak menghisap vape di dalam Dewan Rakyat seperti dakwaan menerusi gambar yang ditularkan sebelum ini.

Ujar beliau, imejnya perlu dibersihkan selepas menerima pelbagai kecaman di media sosial baru-baru ini.

“Adakah speaker telah memanggil jurufoto tersebut, saya percaya jurufoto yang profesional tidak akan ambil gambar hanya sekeping dan apakah ada semakan melalui CCTV (kamera litar tertutup) dibuat?

“Ini imej saya yang tercemar sebab itu saya minta juga speaker kalau terbukti saya tidak hisap vape, teguran perlu diberi kepada orang luar tidak kira sama ada jurufoto itu dan yang dibenarkan masuk supaya jangan buat viral,” katanya.

Ujar beliau, berdasarkan Peraturan Mesyuarat Seksyen 9, ia jelas membuktikan tindakan jurugambar berkenaan adalah salah kerana menyebarkan gambar sekaligus mencetuskan fitnah.

Terdahulu, Ikmal mengesahkan telah menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat berkenaan isu menghisap vape.

Turut menyuarakan gesaan yang sama, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu- Pas).

Beliau menyifatkan tindakan jurugambar berkenaan seolah-olah paparazi yang sengaja mahu mencari salah Ahli Dewan Rakyat tertentu.

“Adakah jurufoto yang mengambil gambar secara salah itu menjadi paparazi dalam Parlimen ini, tengok siapa buat salah dengan unsur fitnah saya harap Parlimen memberikan satu petua adakah akan memanggil jurufoto yang saya difahamkan telah mengaku melakukan kesalahan ini,” tegasnya.

Sementara itu, Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluaran-PN) pula berpendirian bahawa Dewan Rakyat sepatutnya menjalankan siasatan secara terperinci sebelum mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Tanah Merah.

“Parlimen sepatutnya menjalankan siasatan dalaman, Parlimen ada akses kepada CCTV, ada bukti fizikal yang berada di sini sepatutnya disiasat dahulu bukan burden of proof diletakkan kepada Tanah Merah (Ikmal) untuk mengatakan dia tidak hisap vape ketika itu.

“Sepatutnya sebelum kemukakan surat minta penjelasan kepada Tanah Merah siasatlah dulu, ini melibatkan imej beliau,” jelas beliau.

Bagaimanapun Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor berkata, sebarang gesaan daripada ahli-ahli Parlimen berkenaan perlu dikemukakan menerusi usul.

“Apa-apa perkara tidak boleh diminta pertimbangan semula kecuali dgn dikeluarkan usul sendiri,” katanya merujuk Peraturan Mesyuarat Perkara 43.

Sebagai rekod, gambar berkenaan tular di media sosial apabila jurugambar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Sadiq Asyraf memuat naik imej itu di aplikasi X dengan keterangan ‘betul-betul koyak terus tarik vape sambil keluar dewan’.-MalaysiaGazette