Mohd Puad Zarkashi Najib dibebaskan pas kingmaker Muhyiddin wang RCI Tommy Puad Nazlan DAP takut sanusi the untold story Anwar UMNO
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) merupakan mimpi ngeri bagi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Pahang merupakan negeri terakhir di mana PN berpeluang melakukan gerakan ‘tebuk atap’ namun mereka gagal.

“Matlamat Muhyiddin adalah kerajaan ini jatuh sebelum cukup tempoh. Dia dihantui bebanan.

“Jana Wibawa, menantu diburu dan peguam peribadi disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Muhyiddin dalam program ceramah kempen PRK DUN Pelangai di Felda Chemomoi pada 3 Oktober lalu menyatakan, beliau mengalu-alukan mana-mana wakil rakyat BN di Pahang yang mahu menyertai PN.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, PN berusaha membentuk kerajaan negeri Pahang sekiranya berlaku pertambahan kerusi apabila calonnya, Kasim Samat memenangi PRK DUN Pelangai.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila Kasim tewas di tangan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam.

Mohd Puad memberitahu, Muhyiddin bimbang kerana kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan semakin kukuh selepas PRK DUN Pelangai, DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

Beliau menambah, tiada sabotaj berlaku dalam ketiga-tiga PRK tersebut dan ia jauh berbeza dengan apa yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020.

“Calon UMNO disabotaj oleh Bersatu. Ada pula calon bebas tajaan. Itu sebab UMNO keluar kerajaan PN,” jelasnya.

Mohd Puad berkata, Bersatu tidak menguasai mana-mana negeri ketika ini dan tiga negeri pembangkang dimiliki oleh Pas.

“Bersatu perlu rakan baharu parti bukan Melayu. PN akan pecah juga,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. DUN Pelangai bukan hanya mimpi ngeri malah telah menakutkan pengundi disana… beras tempatan RM26 telah tiada. gula tiada. minyak packed pun tiada. memang ngeri dan menakutkan

Comments are closed.