Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto QURRATU AINI, 18 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM2.8 bilion dana milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipindah kepada akaun peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara 2009 hingga 2014.

Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan yang menjadi saksi pendakwaan ke-47 mendedahkan, dana itu dipindah milik melalui beberapa bank luar negara sebelum masuk ke dalam akaun Najib dalam tempoh itu. 

Keterangan Adam menjelaskan secara terperinci tentang pecahan transaksi tersebut, antaranya dana daripada Putera Faisal daripada Arab Saudi sebanyak RM60 juta pada 2011, juga daripada syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners yang pindahkan dana RM90 juta pada 2012.

Sebanyak RM2 bilion telah dipindah daripada Tanore Finance Corporation atau AS$681 juta pada 2013 dan Blackrock Commodities Global Ltd dan Vista Equity International Partners Ltd telah memindahkan sejumlah RM49 juta ke dalam akaun Najib pada 2014.

Untuk makluman, sebelum ini Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pernah melaporkan Blackrock dan Vista Equity International Partners ialah syarikat yang hanya wujud di atas kertas atau dikenali akaun persisiran dimiliki dan dikawal oleh Eric Tan Kim Loong yang merupakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Kata Adam, ketika beliau menjejaki dana itu, dana-dana itu masuk ke dalam akaun peribadi Najib yang berakhir dengan nombor 880 antara Jun hingga Disember 2014.

“Syarikat Blackrock telah memindahkan dana sebanyak £750,000 (lebih RM4 juta) manakala Vista Equity pula £8,706,021 juta (lebih RM45 juta) melalui lima transaksi.

“Pindahan wang £750,000 dibuat kepada akaun 211-202-201188-0 atas nama AMPRIVATE BANKING – 1MY DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN HJ ABD RAZAK pada hari sama Blackrock menerima wang AS$1.89 million,” katanya pada prosiding 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. 

Adam sedang memberikan keterangan terhadap pertuduhan dihadapi Najib berkaitan penyewelengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi di sini.

Prosiding akan bersambung esok di hadapan Collin Sequerah.

Ketika ini, Najib sedang berdepan perbicaraan melibatkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014. -MalaysiaGazette