Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kuala Lumpur Ariffin Samsudin bercakap pada sidang media mengenai operasi penyelewengan barang kawalan bersubsisdi (diesel) melalui Ops Tiris di Stor KPDN, Segambut, KL. Foto QURRATU AINI, 9 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Sindiket seludup diesel bersubsidi mengubah taktik mereka dengan membeli diesel di stesen minyak sekitar ibu kota sebelum menyeludupnya ke negara jiran.

Sebelum itu modus operandi mereka membeli minyak di negeri-negeri berdekatan sempadan negara.

Bagaimanapun langkah itu berjaya dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur selepas beberapa lori yang sama kerap mengisi diesel di stesen minyak sekitar Jalan Klang Lama.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, serbuan menerusi Ops Tiris pada 4 Oktober lalu hasil risikan selama tiga minggu mendapati lori berkenaan menyimpan bekalan di setor haram sekitar Jalan Pasir Baru.

“Diesel yang dibeli akan dikumpulkan di setor haram itu sebelum dipindahkan ke lori kontena 20 tan dan sindiket dipercayai seludup ke luar kawasan dari Kuala Lumpur.

“Dalam serbuan itu, empat ditahan terdiri daripada dua pekerja stor, seorang pemandu lori dan seorang lagi dipercayai pemilik stor haram terbabit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ariffin Samsudin bercakap pada sidang media hari ini

Jelas Ariffin, pihaknya turut menyita lori kontena dengan muatan cecair disyaki diesel berjumlah 24,000 liter yang dianggarkan bernilai RM56,400.

Selain itu, mereka turut menjumpai satu tangki skid mengandungi diesel 4,073 liter bernilai sebanyak RM9,571.55 dengan nilai keseluruhan barang rampasan kira-kira RM120,966.95.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh didenda tidak lebih RM2 juta dan kesalahan kedua atau seterusnya akan didenda maksimum RM5 juta jika sabit kesalahan.

Setakat ini, KPDN Kuala Lumpur membuka tujuh kertas siasatan melibatkan 11 tangkapan warga tempatan di bawah Ops Tiris.

Nilai sitaan barang kawalan RM 215,706.66 bagi 103,328.68 liter diesel dan keseluruhan barang rampasan dianggarkan sebanyak RM296,632.70 merangkumi kenderaan dan barang kawalan.

Ariffin menasihatkan kepada orang ramai untuk melaporkan kepada KPDN jika terlihat kes serupa agar tindakan lanjut boleh diambil. – MalaysiaGazette