Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis akan memberi tumpuan bagaimana bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa memperolehi bon dan menjualnya bagi mendapat komisyen dalam siasatan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB),

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, beliau yakin hasil soal siasat ke atas suspek berusia 51 tahun itu boleh membawa kepada maklumat penglibatan suspek-suspek lain, termasuk suspek utama, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Dia dibawa balik dari Amerika Syarikat (AS) pada lewat malam 8 Oktober lalu dan ditahan polis untuk memulakan siasatan pada 9 Oktober 2023.

“Kita akan memulakan siasatan ke atas Roger Ng di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis bertanggungjawab mengendalikan siasatan ke atas Roger Ng untuk mengembalikan aset-aset 1MDB ke tanah air.

Razarudin yang mengharapkan kerjasama baik daripada Roger Ng dalam siasatan yang dilakukan ke atasnya bermula hari ini berkata, banyak lagi aset-aset 1MDB seperti hartanah, kenderaan serta akaun-akaun simpanan bank yang berada di luar negara perlu dibawa pulang ke Malaysia.

Tambah beliau, daripada soal siasat ke atas Roger Ng, pihak akan memperoleh anggaran nilai aset yang akan dibawa balik ke tanah air.

Sementara itu, Razarudin memberitahu, polis tidak akan memasang peranti pengawasan elektronik (EMD) ke atas Roger Ng seperti yang dilakukan Jabatan Keadilan AS yang membicarakan dan menjatuhkan hukuman 10 tahun ke atas beliau.

Menurutnya, segala pendedahan menerusi keterangan dalam keputusan kes mahkamah di AS akan diguna pakai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette