BALIK PULAU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan 500 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) akan ditubuhkan di seluruh negara menjelang 2030.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, penubuhan PBS itu akan dilakukan di kawasan yang tidak mencapai skor risiko pembinaan balai bomba seperti pulau-pulau kecil yang mempunyai komuniti serta pedalaman.
Jelas beliau, ia juga sebagai langkah memperkasakan perkhidmatan PBS serta pasukan pasukan respon awal sementara kehadiran pihak bomba.

“Setakat ini, kita ada sebanyak 348 PBS dan kita juga telah selesai melaksanakan pemetaan bagi menentukan lokasi yang memerlukan PBS dan kebanyakan kawasan membabitkan Sabah serta Sarawak.
“Jadi jabatan kini dalam proses reverse kepada approach yang mana kalau sebelum ini kita nak tubuhkan pasukan kita harap komuniti yang datang kepada kita untuk tubuhkan pasukan.
“Sekarang ini tidak, kita tentukan lokasi-lokasi yang wajar ada dan kita akan turun padang untuk kita memastikan bahawa kawasan itu ditibuhkn psukan bomba sukarela mengikut keperluan risiko yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela Zon Utara di White Camp di sini, hari ini.
Tambah Nor Hisham, pihaknya juga kini diperingkat akhir untuk meminda Akta Perkhidmatan Bomba 1988 bagi membolehkan pendaftaran PBS dibuat terus kepada JBPM.
“Ini merupakan kerangka besar yang kita rangka untuk PBS dan kita berharap apabila dapat meminda akta ini punca kuasa yang ada kepada jabatan ini dapat kita perkukuhkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nor Hisyam berharap cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar kadar geran tahunan PBS dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000 diluluskan menerusi Bajet 2024.
“Kita memohon supaya cadangan itu dapat diluluskan kerajaan agar kita dapat menyokong usaha memperkasakan perkhidmatan PBS ini.
“Kita juga percaya ia merupakan salah satu elemen untuk menyokong hasrat kita untuk menubuhkan 500 PBS menjelang 2030,” jelas beliau. – MalaysiaGazette















