KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan dasar subsidi bersasar tidak akan menekan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia terbukti berdasarkan jumlah subsidi ditanggung kerajaan kini mencecah RM81 bilion.
“Dalam perkiraan dan pertimbangan kerajaan termasuk jemaah menteri, sementara subsidi bersasar itu dilihat sangat mendesak kerana subsidi kini sudah RM81 billion, dasar kita tidak akan menekankan.
“Seperti mana contoh terbaik Tabung Haji, dan kadar elektrik yang tidak akan dikenakan. Meskipun ada kekeliruan yang dibangkitkan, seolah-olah kadar elektrik itu akan dikenakan kepada rakyat biasa.
“Tidak benar sama sekali, kalau ada, mungkin ada sedikit pelanggaran daripada peraturan ditetapkan. Saya tidak fikir mungkin kerana keputusan dari jemaah menteri itu jelas…hanya untuk golongan berpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN – Ayer Hitam) yang membangkitkan isu tersebut ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar dalam masa yang sama turut menyentuh isu Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Jelasnya, kadar tersebut tidak hanya bergantung kepada peningkatan faedah di Amerika Syarikat, sebaliknya ia bergantung kepada aspek lain termasuk inflasi.
“Dalam beberapa kali mesyuarat BNM, tidak menaikkan OPR, memikirkan soal inflasi rendah dan kesan kepada rakyat.
“Saya fikir dasar itu akan dikekalkan, melainkan kalau keadaan sangat mendesak. Kalau ikut perundangan, dari dulu memang bidang kuasa dan wawenang BNM (Bank Negara Malaysia),” ujarnya. – MalaysiaGazette