Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Majlis Konvokesyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan di Institut Latihan Islam Malaysia, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 10 OKTOBER 2023.

BANGI – Elaun pendakwah kontrak di bawah Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) perlu dinaikan setara dengan kadar gaji minimum.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi cadangan itu terutama kepada penggerak masyarakat Orang Asli, mubaligh serta guru agama.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengesyorkan berikutan terdapat pelbagai kekangan sebagai pendakwah untuk menyantuni saudara baharu terutama di kawasan pendalaman.

“Pendakwah atau mubaligh ini dikategorikan sebagai usaha dakwah sukarela atau sukarelawan penyebaran dakwah.

“JAKIM, JAIN, MAIN telah mengambil inisiatif meletakkan mereka sebagai pendakwah perkhidmatan secara kontrak, maka elaun yang diberikan kepada mereka (pendakwah) itu secara relatifnya masih rendah.

“Seharusnya elaun gaji pekerja kakitangan kontrak mesti menjurus ke arah sekurang-kurangnya setara gaji minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Konvesyen Mualaf Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengambil maklum cadangan Ahmad Zahid berkaitan kenaikan elauan pendakwah kontrak.

Beliau berkata, pada masa ini pendakwah-pendakwah yang bergerak di bawah JAKIM serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Yayasan Dakwah Islamiah tidak diberikan elaun atau gaji tetap.

“Yang ini kita akan berikan bantuan sebab mereka ni memang tidak ada elaun ataupun gaji. Apa yang berlaku ialah mereka akan mengemukakan kertas cadangan kepada agensi-agensi agama seperti JAKIM untuk kita bantu berdasarkan kertas cadangan yang dikemukakan,” katanya.

Tambah beliau, bantuan itu juga akan meliputi pendakwah di agensi-agensi yang terlibat dengan usaha penyebaran Islam,” ujarnya – MalaysiaGazette