Wong Shu Qi

KUALA LUMPUR – Hutang kerajaan pada tahun lalu meningkat kepada RM1.079 trilion berbanding RM979.814 bilion pada tahun 2021.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Shu Qi berkata,walaupun hutang melebihi RM1 trilion namun jumlahnya masih di bawah had statutori iaitu 57.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, jumlah perbelanjaan kerajaan turut meningkat daripada RM333.484 bilion pada tahun 2021 kepada RM395.246 bilion pada tahun ini.

Katanya, kedudukan kewangan kerajaan pada 2022 kekal defisit, iaitu RM99.3482 bilion dengan nisbah defisit kerajaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.6 peratus.

Jelas beliau, defisit tersebut sebahagian besar ditampung dengan pinjaman dari dalam dan luar negara.

“Bagaimanapun, defisit tahun 2022 itu menurun berbanding 6.4 peratus pada tahun 2021 dengan jumlah terimaan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022 meningkat kepada RM295.764 bilion berbanding RM234.744 bilion pada tahun 2021,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media berhubung Laporan Ketua Negara 2022 Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2022 dan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan di lobi Parlimen, hari ini.

Tambah Wong, perbelanjaan subsidi yang ditanggung kerajaan juga meningkat 322.1 peratus atau bertambah RM42.309 bilion.

Ujarnya, antara perbelanjaan subsidi yang tertinggi ialah barangan produk petroleum yang berjumlah RM45.184 bilion.

“Perbelanjaan subsidi yang ditanggung kerajaan pada tahun 2022 terus meningkat dengan mendadak apabila sejumlah RM55.443 bilion dibelanjakan berbanding RM13.134 bilion pada tahun 2021,” tambahnya. – MalaysiaGazette