Oleh: Professor Madya Dr. Mohd Rosmizi Abd Rahman
JUMLAH yang terkorban dan pelbagai kemusnahan dalam kemelut konflik Palestin–Israel semakin bertambah dengan mendadak. Kita mendapat berita dari Kementerian kesihatan Gaza pada malam 10 Oktober sebanyak 560 rakyat Palestin telah terkorban, 2900 lagi tercedera dan berpuluh ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal akibat musnah teruk di bom oleh roket pejuang regim Zionis Israel. Tidak berapa lama kemudian, jumlah ini telah meningkat dengan mendadak kepada lebih dari 700 rakyat Palestin telah terkorban dan lebih 4000 tercedera.
Jumlah ini terus menaik kepada 788 rakyat Palestin telah terkorban dan kira-kira 4,100 cedera akibat serangan zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat. Sementara itu seramai 123,000 rakyat Palestin kehilangan tempat perlindungan dalam sekelip mata kerana rumah-rumah mereka habis dimusnahkan. Ada sebahagian mereka ditempatkan di sekolah-sekolah, masjid, rumah saudara mara mereka lain. Rata yang terkorban dan tercedera ini adalah rakyat awam yang terdiri dari warga tua, keluarga, kanak-kanak dan juga bayi ynag tidak berdosa.
Kekejaman regim Zionis Israel turut terbukti apila mereka turut membunuh 7 orang wartawan sepanjang tempoh peperangan berlaku di Gaza yang hanya bertugas untuk membuat liputan dan menyebarkan maklumat terkini. Pejabat Media Kerajaan di Gaza melaporkan: “Kami berdukacita kepada dua rakan wartawan, Muhammad Sobh dan Saeed Al-Taweel, yang terbunuh akibat menjadi sasaran pesawat zionis ketika membuat liputan pemindahan salah satu bangunan yang diancam oleh pengeboman di barat Gaza , dan kami mendoakan kesembuhan kepada rakan sekerja kami Hisham Al-Nawajah, yang bersama mereka dan sedang menerima rawatan”. Regim Zionis Israel dengan rakusnya meluaskan lagi awasan pengeboman dengan terus menerus melancarkan roket mereka dan mengebom pelbagai kawasan seperti bahagian utara Hay Shujaiyah, Gaza, Rafah, Rimal, West Gaza City, Khan Younis Selatan Gaza Strip, kem Jabalia dan lain-lain.
Keadaan perumahan rakyat Palestin yang terkena bom telah menjadi seperti padang jarak terkukur. Pelbagai berita sedih diterima setiap masa. Sebagai contoh, rumah keluarga Abu ‘Isa telah hancur dan sekarang beliau tiada sedikit pun baki untuk berteduh. Tentera Israel juga telah mengebom sebuah rumah milik keluarga Abu Hilal, ketika tuan rumah masih berada di dalam. Ramai mangsa terkorban dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan keluarga milik Abu Daqa, di Khan Younis Selatan Gaza Strip dan di rumah keluarga Ahmed di sebelah kolam Abu Rashid di kem Jabalia, kejiranan Zaytoun di Gaza. Bukan setakat itu Sahaja kekejaman regim Zionis Israel, mereka turut memusnahkan bangunan awam seperti masjid dan bank.
Menurut laporan, Kementerian Wakaf Gaza memaklumkan setakat ini sebanyak lima buah masjid telah dibom sejak awal serangan penjajah Zionis. Masjid-masjid ini merupakan tempat alternatif perlindungan rakyat Palestin yang telah kehilangan rumah dan ianya dibom tanpa amaran. Ketulan daging manusia bertaburan di merata tempat dan ramai rakyat Palestin telah terkorban. Sementara itu, keadaan di hospital Gaza sangat kritikal dengan berlakunya kekurangan peralatan perubatan yang amat teruk. Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa regim Zionis mengebom kawasan utara Bandar Gaza dengan bom fosforus yang diharamkan di peringkat antarabangsa.
Ternyata benarlah, tentera Israel ni tidak berperikemanusiaan dan memang patut dikeji oleh seluruh dunia. Namun kemusnahan ini tidak dapat melunturkan semangat rakyat Palestin dan pejuangnya. Mereka sedaya upaya tetap berdiri teguh Bersama-sama mempertahankan maruah tanah air dan kesucian Islam yang telah lama dinodai. Setakat ini, pihak Israel mengemas kini statistik tentera Israel yang terkorban mencecah seramai 1100 terkorban dan lebih dari 2,741 tercedera. Angka korban dari kedua-dua pihak ini belum bernoktah dan akan terus menaik sekiranya konflik ini berterusan.
Pihak berkuasa di seluruh dunia perlu segera mengambil tindakan yang tegas untuk menghentikan kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. Ini adalah tuntutan yang mendesak untuk menjaga keadilan dan kedamaian di kawasan tersebut serta di seluruh dunia. Negara-negara Islam perlu bersatu dalam semangat solidariti dan kesatuan hati untuk bersama-sama menghadapi krisis ini. Mereka harus berani mengambil langkah-langkah tegas dan cepat dalam menyalurkan bantuan sebanyak mungkin, tidak hanya dari segi kemanusiaan, tetapi juga dalam bentuk bantuan politik, diplomatik, dan ekonomi, untuk membantu saudara seIslam mereka yang sedang menderita akibat kekejaman tersebut.
Pentingnya menjaga kesucian Islam dan melindungi umat Muslim dari penindasan dan penodaan tidak boleh diabaikan. Ini adalah tanggungjawab bersama seluruh dunia Islam, dan harus diutamakan dalam usaha untuk mencapai perdamaian dan keadilan di wilayah tersebut. Melalui tindakan bersama, negara-negara Islam dapat memberikan sokongan yang kuat kepada rakyat Palestin dan membantu mereka dalam mendapatkan hak-hak mereka yang sah serta mencapai kemerdekaan yang mereka idamkan.
Penulis merupakan Pensyarah Program Pengajian Akidah dan Agama,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)















