KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur pada bulan Ogos 2023 terus menurun kepada 577,300 orang, dengan kadar pengangguran 3.4 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh kekal stabil pada bulan Ogos 2023 dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.

Dalam hal ini, bilangan tenaga buruh pada bulan Ogos 2023 bertambah baik, dengan peningkatan 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 16.93 juta orang (Julai 2023: 16.91 juta orang).

Kadar penyertaan tenaga buruh Ogos kekal pada 70.1 peratus seperti pada Julai 2023.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja pada bulan Ogos 2023 berada pada trend menaik, dengan peningkatan
0.1 peratus kepada 16.35 juta orang (Julai 2023: 16.34 juta orang).

Sebaliknya, bilangan penganggur pada bulan Ogos terus berkurang, dengan penurunan sebanyak 0.3 peratus kepada 577,300 orang (Julai 2023: 579, 200 orang).

Kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 3.4 peratus seperti yang direkodkan pada bulan lalu.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, Mohd Uzir berkata, 75.4 peratus daripada jumlah penduduk bekerja adalah dalam
kategori pekerja dan kategori ini meningkat sebanyak 0.1 peratus merekodkan 12.32 juta orang (Julai 2023: 12.31 juta orang).

Pada masa yang sama, penduduk bekerja sendiri juga mencatatkan kenaikan 0.3 peratus kepada 2.97 juta orang (Julai 2023: 2.96 juta orang).

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus menunjukkan trend menaik, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan pengangkutan dan penyimpanan.

Di samping itu, sektor pembuatan, pertanian, pembinaan serta perlombongan & pengkuarian turut mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut.

Menurutnya, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80.0 peratus
daripada jumlah penganggur.

Kategori ini terus menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.6 peratus mencatatkan 462,100 orang (Julai 2023: 464,700 orang).

Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.4 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun mencatatkan 6.2 peratus.

Sementara itu, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif merekodkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus kepada 115,200) orang (Julai 2023: 114,500 orang).

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun terus menurun sebanyak 0.1 mata peratus pada bulan tersebut kepada 10.8 peratus, mencatatkan bilangan penganggur belia yang lebih rendah iaitu pada 309,200 orang (Julai 2023: 10.9%;
311,200 orang).

Dalam pada itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal pada 6.8 peratus seperti pada bulan sebelumnya, dengan 439,600
penganggur belia (Julai 2023: 6.8%; 444,800 orang).

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Ogos 2023 meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 7.23 juta orang (Julai 2023: 7.23 juta orang).

Komposisi terbesar bagi luar tenaga buruh adalah disebabkan oleh kerja rumah/ tanggungjawab keluarga dengan 42.9 peratus dan seterusnya, 40.1 peratus adalah disebabkan oleh bersekolah/ latihan. – MalaysiaGazette