Kanak-kanak 4 tahun antara 25 PATI cuba tinggalkan Malaysia naik bot kayu secara haram di Pulau Carey ditahan awal pagi hari ini oleh polis Marin.Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Tindakan polis Marin yang berjaya mengesan dan memintas sebuah bot kayu jenis pom-pom dibawa tekong warga asing di Pulau Carey berjaya mematahkan cubaan sekumpulan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada meloloskan diri melalui perairan negara.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh
berkata, pada jam 1 pagi semalam, bertindak atas maklumat sepasukan pegawai dan anggota Polis Marin Klang telah menuju ke lokasi disyaki sebuah bot membawa PATI.

Katanya,setiba di lokasi itu, sepasukan pegawai dan anggota polis telah bertindak memintas bot kayu jenis pom pom.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis telah menangkap dua lelaki warga asing di Pantai Pulau Carey dan siasatan mendapati kedua-dua suspek merupakan tekong asing.

“Hasil daripada pemeriksaan susulan di dalam bot kayu berkenaan polis marin menemui seramai 13 lelaki warga asing, 11 perempuan warga asing dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan kejayaan tersebut di sini.

Kanak-kanak 4 tahun antara 25 PATI cuba tinggalkan Malaysia naik bot kayu secara haram di Pulau Carey ditahan awal pagi hari ini oleh polis Marin.Ihsan IPD Kuala Langat

Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati kesemua PATI berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah selepas diminta oleh pihak berkuasa itu.

“Justeru, hasil soal jawab mendapati kesemua 25 warga asing itu mengaku mereka ingin keluar dari negara Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan laut) secara haram.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis telah bertindak menangkap kesemua suspek berkenaan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” ujar beliau.

Tegasnya, hasil semakan terhadap kesemua suspek yang ditangkap itu mendapati kesemua PATI berumur lingkungan dari 4 tahun sehingga 53 tahun.

Jelas beliau lagi, kesemua suspek direman selama 14 hari di lokap Balai Polis Banting Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat.

“Dua warga asing iaitu tekong bot itu ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Manakala 25 suspek yang lain sedang disiasat di bawah Akta imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen penjalanan yang sah dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan,” kata Ahmad Ridhwan lagi. – MalaysiaGazette