Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media pada 13 Ogos di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak pernah dipinggirkan dalam Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua Littoral Combat Ship (LCS) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

MINDEF dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan AGC khususnya dalam proses memuktamadkan draf Perjanjian Tambahan Keenam (SA6).

“MINDEF termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) dan AGC telah melaksanakan beberapa siri perbincangan serta mesyuarat berkaitan draf SA6 sejak April 2023.

“Ia dilakukan selepas keputusan hala tuju projek diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 19 April 2023. Hasil kesemua libat urus ini, MINDEF telah menerima ulasan AGC melalui surat bertarikh 24 Mei 2023 di mana empat perkara utama telah dibangkitkan.

“Antaranya Progress Payment Plan, Integrated Logistic Support (ILS), Detailed Design dan Liquidated Ascertained Damages (LAD), bersama-sama cadangan pindaan lain.

“SA6 ini telah ditandatangani setelah mengambil kira ulasan AGC dan juga pandangan laporan PAC terdahulu serta Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan,” kata MINDEF dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengecam MINDEF kerana memeterai perjanjian LCS tanpa persetujuan AGC bertarikh 9 Oktober 2023 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.

PAC membuat sembilan rumusan mengenai Laporan Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua Littoral Combat Ship (LCS) di bawah MINDEF bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

Antara rumusan PAC itu ialah tiada kemajuan bagi pembinaan LCS sejak daripada lawatan PAC Parlimen ke-14 pada 11 Disember 2021 hingga lawatan PAC Parlimen ke-15 pada 10 Jun 2023. – MalaysiaGazette