KUALA LUMPUR – Pakar-Pakar Perubatan Keluarga daripada Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) menggesa kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kedua pada sesi Parlimen bulan Oktober 2023 ini.
Sebarang tindakan melengahkan atau menangguhkan RUU ini akan membawa remaja negara ini selangkah ke arah kemudaratan yang nyata.
Presiden FMSA, Dr Nor Hazlin Talib berkata, pihaknya memandang serius isu penggunaan vape dan rokok elektronik dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, lebih-lebih lagi remaja dan kanak-kanak semakin terjerumus ke kancah penggunaan vape yang diwar-warkan oleh golongan tertentu sebagai sumber ekonomi baharu untuk negara di samping boleh digunakan sebagai kaedah berhenti merokok.
Namun, hakikatnya, tiada kajian kukuh terhadap penggunaan vape sebagai terapi berhenti merokok dan kos ekonomi yang dibawa oleh penyakit berkaitan dengan vape seperti Evali adalah lebih tinggi dari potensi keuntungan yang dibawa industri ini.
Selain itu, negara yang telah meringankan peraturan penggunaan vape seperti England dan New Zealand telah menghadapi peningkatan dalam golongan remaja dan kanak-kanak yang terjebak dengan ketagihan ini, sekali gus merisaukan pakar-pakar
kesihatan terutamanya pakar pediatrik dan pakar perubatan keluarga
Tegas Nor Hazlin, lebih merisaukan apabila 6% daripada remaja yang menggunakan vape adalah dalam kalangan remaja perempuan berbanding hanya 1% bagi penggunaan rokok konvensional.
Ini membuktikan penerimaan vape lebih tinggi dalam kalangan remaja, sesuai dengan bukti-bukti kajian global yang membuktikan remaja menggunakan vape kerana sifat ingin tahu, sebagai gaya hidup dan perasa yang menarik minat mereka.
Tambahan pula, sejak pengeluaran cecair nikotin daripada Akta Racun pada 1 April 2023, penjualan nikotin tidak dikawal selia oleh mana-mana undang-undang di Malaysia.
Ini membuka ruang kepada penjualan tidak terkawal kepada remaja dan kanak-kanak bawah umur.
Ini sokong oleh dapatan tinjauan Pusat Racun Negara yang mendapati produk vape dijual sebaris dengan gula-gula dan alat tulis di kedai-kedai runcit.
Pakar Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin dan Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Megat Mohammad Amirul Amzar Megat Hashim telah menyuarakan kebimbangan dengan trend vaping dalam kalangan remaja dan kanak-kanak ini.
“Dalam pengalaman mereka menyantuni remaja sekolah sekitar usia 13-16 tahun, terdapat pola penggunaan vape yang merisaukan. Ini termasuk lah aktiviti mencampurkan vape dengan cecair yang mengkhayalkan seperti psilocybin (dikenali sebagai mushroom flavour oleh remaja) dan juga meletakkan tar di dalam cecair e-liquid.
“Pola ini amat merisaukan kerana campuran dadah halusinogen bukan sahaja memberikan risiko kesihatan yang serius seperti keracunan akut dan ketagihan, malah ia boleh meningkatkan risiko masalah sosial seperti kes rogol di bawah pengaruh dadah yang berlaku di Sabah pada bulan Mei 2023.
“Peranti vape yang menggunakan bateri lithium ion berisiko meletup dan menyebabkan kecederaan serius serta meningkatkan risiko kebakaran. Kajian juga menunjukkan kandungan bahan kimia seperti propylene glycol, vegetable glycerine dan juga perasa di dalam vape berpotensi merosakkan paru-paru dan salur pernafasan,” hujahnya.
Oleh itu, FMSA dengan tegas mencela tindakan mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu ini dan berselindung di sebalik kuasa legislatif yang dimandatkan kepada mereka, tambah Nor Hazlin. – MalaysiaGazette