KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu maklum balas Polis Antarabangsa (Interpol) mengenai permohonan notis merah terhadap menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Muhammad Adlan Berhan yang dikehendaki di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan itu kepada Interpol selepas menerima dokumen yang diperlukan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Oktober lalu.
“Bagaimanapun, sekarang kita masih menunggu jawapan Interpol di Lyon dan kita percaya ia (notis merah) itu akan dikeluarkan nanti,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Pada 30 September lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mengemukakan dokumen tambahan yang diperlukanpolis untuk permohonan notis merah Interpol..
Muhammad Adlan, 48, dan Mansoor Saat, 69 adalah dua individu dikehendaki SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Semakan bersama Imigresen mendapati kedua-dua individu dikehendaki itu telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 dan 21 Mei lepas, dan tiada rekod masuk semula ke negara ini. – MalaysiaGazette















