Lebuhraya Pan Borneo masih dalam pembinaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 19 JANUARI 2020. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah lebih perlahan berbanding Sarawak.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berperanan untuk memastikan projek pembinaan berjalan dengan lancar.

Katanya, Kementerian Kewangan juga diarahkan untuk memastikan penyaluran peruntukan dapat dipercepatkan.

“Saya setuju Pan Borneo Sarawak hampir siap tapi Sabah amat perlahan jadi tugas TPM II adalah untuk menyegerakannya. Kementerian Kewangan setuju untuk fast track asalkan ada proses tender terutama untuk kawasan Sabah kerana Pan Borneo ini berpuluh tahun tertangguh peruntukan ada.

“Oleh kerana kita sudah janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak jadi tidak alasan kita lengahkan malah dalam Kembara Kenali Borneo ada dibangkitkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” ujarnya.

Menurut beliau, dalam masa yang sama, agensi penguat kuasa perlu tegas memastikan tiada unsur rasuah dan ketirisan dalam projek pembinaan lebuh raya tersebut.

“Insya-Allah dalam beberapa aspek saya akan umum hari Jumaat tetapi dari sudut ketirisan saya setuju kita kena tegas dan saya minta semua agensi penguat kuasa supaya jangan tolak ansur pastikan tidak ada lagi kebocoran dan ketirisan,” katanya yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertanya langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan pusat untuk memastikan rancangan pembangunan projek Pan Borneo tidak terbantut kerana ketirisan.

Sebagai rekod dilaporkan, jadual Kementerian Kerja Raya mengenai 15 pakej fasa satu projek Pan Borneo Sabah yang dijadual siap pada akhir tahun depan sukar dicapai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob sebelum ini tidak yakin jaminan itu dapat dipenuhi berdasarkan perkembangan semasa kerja pembinaan di semua pakej terbabit.

Katanya, cara kerja kontraktor yang lambat dan tidak tersusun selain dilihat tidak profesional menyukarkan projek itu disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.- MalaysiaGazette