Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff menyampaikan anugerah kepada Dr. Johari Abdullah Yap Guan Kheng pada Majlis Konvokesyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan di Institut Latihan Islam Malaysia, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 10 OKTOBER 2023.

BANGI – Kerajaan sentiasa komited memastikan semua mualaf di negara ini mampu menjadi mukalaf yang terbaik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga cagna terhadap perkembangan serta kemajuan mualaf dari semasa ke semasa.

“Usaha itu dapat diterjemahkan menerusi pelbagai penganjuran aktiviti yang bermanfaat serta dapat memberi impak terbaik kepada mualaf dan negara.

“Ia hasil kerjasama Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)

“Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan hari ini merupakan salah satu inisiatif yang dapat dizahirkan di mana para mualaf diberi ruang berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta diiktiraf pencapaian terbaik mereka melalui penganugerahan berdasarkan beberapa kriteria,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvesyen Mualaf Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini, hari ini.

Teks ucapan Anwar dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri berkata, bilangan mualaf di Malaysia bertambah dari tahun ke tahun dan ia merupakan perkembangan positif yang perlu dipastikan berterusan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar berkata, JAKIM bersama pihak berkuasa negeri-negeri akan sentiasa memperkukuh program-program penghayatan Islam dalam kalangan mualaf dan masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata, kelas-kelas pengajian agama meliputi ilmu aqidah, syariah dan akhlak perlu dilaksanakan dengan komited, interaktif serta terancang.

“Kita perlu menerima hakikat, dunia teknologi komunikasi hari ini yang bergerak pantas menuntut agensi hal ehwal Islam untuk melipat-gandakan usaha menyampaikan ilmu-ilmu Islam termasuk di media sosial.

“Bahan-bahan ilmu serta soal jawab kemusykilan hukum hakam di kalangan mualaf dan sahabat-sahabat yang baru memeluk agama Islam juga perlulah disantuni dengan segera dan pantas.

“Kefahaman ilmu yang jitu akan menjadi pasak kepada penghayatan Islam serta amalan yang berterusan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast