KUALA LUMPUR – Ketika penularan wabak Covid-19, masyarakat orang asli di Gua Musang, Kelantan juga turut bergelut untuk mengekalkan status sosio-ekonomi dan keterjaminan makanan mereka kerana sumber pendapatan mereka menjadi terhad akibat tidak dapat menjual hasil hutan, ladang dan pergerakan mereka menjadi terhad. Ramai yang khuatir untuk keluar ke pekan berhampiran bagi mendapatkan asas keperluan hidup kerana kebimbangan penularan virus. Bagi komuniti yang tinggal di pedalaman, mereka terpaksa menunggang motor lebih daripada 5-8 jam untuk ke pekan terdekat.
Selain itu, masyarakat orang asli uga menghadapi cabaran mengakses makanan tradisional daripada hutan di sekitar ekoran hutan semulajadi mereka telah terosot akibat aktiviti penebangan hutan tidak terkawal. Tanaman pertanian mereka juga tidak mampu menampung hasil yang mencukupi ekoran gangguan hidupan liar, cuaca ekstrem dan kesan perubahan iklim. Dalam masa yang sama, bukan sahaja pendapatan mereka terjejas, malah barangan runcit tempatan menjual barangan keperluan seperti ayam, sayur, gula, beras dan sebagainya dijual pada harga yang tidak berpatutan
Sehubungan dengan itu, Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA dengan sokongan Yayasan Hasanah dan Program Geran Kecil GEF-UNDP telah mengambil inisiatif untuk menjalankan Projek #KebunMandiriOA dengan matlamat untuk Memperkasa komuniti orang asli di Gua Musang, Kelantan untuk meningkatkan makanan komuniti mereka ke arah mewujudkan komuniti berdikari merupakan projek yang bertujuan untuk meningkatkan tahap sara diri dengan meningkatkan sistem pengeluaran makanan melalui aktiviti pertanian dan penternakan dengan menubuhkan ladang komuniti.
Projek ini telah melibatkan kira-kira 6 buah penempatan iaitu Kampung Jias / Peralong – Kuala Betis, Pos Gob, Kampung Gawin, Kampung Bering, Kampung Kuala Wias dan Kampung Kaloy dengan penyertaan seramai 20-40 peserta Orang Asli daripada setiap penempatan.

Setiap penempatan telah membuka 1-2 ekar tanah untuk projek pertanian ini secara gotong royong dan mereka telah diberikan dengan peralatan dan infrastruktur pertanian yang lengkap seperti pagar keselamatan, sistem pengairan moden, mesin bajak, peralatan bertani, teknologi mengekang kehadiran hidupan liar, stor, rumah semaian dan kemudahan lain.
Selain itu, komuniti juga dilengkapkan dengan asas kemahiran pertanian integrasi antara teknik tradisional mereka dan pertanian secara organik hasil daripada perbincangan dan input daripada komuniti tempatan. Teknik ini diadaptasi berdasarkan pengalaman yang lalu bagi memastikan hasil pertanian dihasilkan dalam kuantiti yang banyak, bermacam jenis, berkualiti tinggi dan sihat. Modul Latihan pertanian yang dipelajari oleh peserta termasuklah cara membuat kompos, baja, racun organic, mengolah tanah, memastikan air mencukupi, pengurusan ladang / tanaman, tuaian sehinggalah ke asas penjualan, pemasaran dan keusahawanan.
Penubuhan kebun ini telah mampu menghasilkan tanaman dan ternakan yang lumayan dalam masa yang sama ia berjaya mengekang daripada gangguan hidupan liar dan serangga perosak lain melalui kaedah integrasi ini.
Antara tanaman yang telah ditanam dan berjaya dihasilkan oleh peserta termasuklah jagung manis, jagung mutiara, serai, terung, halia, pisang, kacang panjang, bayam, sawi, kacang botol, kacang bendi, labu, timun, petola, peria katak dan bermacam-macam lagi. Selain itu terdapat kampung yang telah menternak ayam dan ikan tilapia serta ikan sungai untuk keperluan protein penduduk.

Selepas 2 tahun, projek ini telah berjaya menghasilkan lebih daripada 18 tan hasil makanan yang disebutkan di atas. Hasil yang diperolehi diagihkan kepada setiap isi rumah. 6 kebun yang telah didirikan ini bukan sahaja telah membekalkan keperluan protein dan zat yang mencukupi kepada seluruh isi rumah di kampung / penempatan tersebut, bahkan 80 peratus daripada hasil tanaman ini telah berjaya dijual oleh komuniti untuk menambah hasil pendapatan mereka.
Antara tanaman yang dijual termasuklah jagung manis, jagung mutiara, serai, terung, halia dan pisang di mana produk ini telah berjaya menembusi pasaran besar khususnya pasar raya utama di Perak dengan harga yang tinggi. Setakat setengah tahun penjualan, kami telah berjaya meraih hampir RM 30,000 yang mana jumlah keuntungan dibahagi sama rata antara peserta yang terlibat.
Secara keseluruhan, projek ini telah berjaya sedikit sebanyak untuk menyelesaikan isu keterjaminan makanan setempat, keperluan zat dan sosioekonomi di kampung-kampung orang asli di Daerah Gua Musang dan diharapkan aktiviti perkebunan sara diri secara lestari ini dapat diteruskan untuk jangka masa yang panjang dengan sokonga agensi kerajaan dan swasta. – MalaysiaGazette















