KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.
RUU itu adalah bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan (KWD) untuk perkhidmatan bagi tahun 2024.
Ahmad berkata, RUU berkenaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada jam 4 petang Jumaat ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan.
Sementara itu, RUU Perbekalan 2024 dijadualkan dibahas di peringkat dasar bermula 16 hingga 26 Oktober.
Diikuti dengan jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari kemudian dibahas di peringkat jawatankuasa bermula 6 hingga 27 November sebelum diluluskan Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette