Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bersama peguamnya menunjukkan tangkap layar akaun Facebook tersebut dan laporan polis yang di buat terhadap pemilik Facebook Edisi Panas Sabah yang menfitnah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang didakwa bersekongkol dengan seorang pelabur meluluskan tanah 2,418 hektar di Pulau Balambangan, Kudat ketika di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 10 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara digesa mengenakan pertuduhan terhadap Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana didakwa melakukan sabotaj kepada usaha menyelamatkan kilang kertas terbesar, Sabah Forest Industries (SFI) pada 2017.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ini kerana Shafie masih gagal memberi maklum balas terhadap pendedahan yang dibuat peguam kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tengku Fuad Tengku Ahmad, 6 September lalu.

“Tengku Fuad telah buat kenyataan yang amat mengejutkan kita semua, ironinya sehingga ke hari ini, Shafie tidak jawab semula tuduhan yang dibuat oleh Tengku Fuad.

“Tengku Fuad telah menuduh Shafie atau Kerajaan Warisan telah sabotaj SFI daripada dihidupkan semula. Sabotaj ini satu isu amat berat.

“Sebab itu kita minta pihak polis dan Jabatan Peguam Negara melihat ruang lingkup yang ada, apakah pertuduhan yang sesuai boleh dikenakan terhadap Shafie Apdal,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama peguamnya membuat laporan polis terhadap Mohd Shafie selaku Presiden Warisan di Balai Polis Sri Petaling, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Tengku Fuad mendakwa bekas Ketua Menteri Sabah itu punca sebenar SFI iaitu kilang kertas terbesar di negara ini masih tidak beroperasi sejak 2017 ke hari ini.

Tengku Fuad mendakwa, berikutan pilihan raya negeri, kerajaan pimpinan Warisan menghalang pelaksanaan tender dengan enggan mengeluarkan perjanjian lesen kayu baharu kepada Pelangi Prestasi Sdn Bhd.

Katanya, syarikat tersebut pada 2017 berjaya memenangi bida bernilai RM1.2 bilion daripada Syarikat India, Ballapur Industries Ltd, yang memiliki 90 peratus SFI.

Katanya, Kerajaan Warisan secara berkesan mensabotaj usaha Pelangi untuk mengambil alih aset SFI dan melaksanakan pelan menyelamat kewangan yang akan memberi manfaat segera kepada pekerja SFI, keluarga mereka dan penduduk Sipitang secara keseluruhan.

“Sebelum ini, kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) pada 2017 telah mengatur satu pembelian yang mana satu syarikat bernama Pelangi Prestasi telah berjaya membida SFI ini dengan bernilai RM1.2 bilion.

“Malangnya apabila syarikat baharu ini telah berjaya menang untuk membeli kilang SFI ini, apabila Kerajaan Warisan mengguling Kerajaan Negeri Sabah, usaha sabotaj telah dibuat ke atas syarikat baharu ini.

“Antara usaha itu lesen tidak diberikan kepada syarikat yang akan mengambil alih SFI, sehingga sekarang ini operasi kilang tersebut terhenti,” katanya.

Dalam perkembang sama, Zulkarnain membidas tindakan Shafie yang datang ke kilang kertas itu dan menawarkan bantuan kepada bekas pekerja SFI, sedangkan beliau didakwa dalang di sebalik perbuatan sabotaj itu.

“Amat menyedihkan apabila kita mengetahui perkara ini, dan ini satu kebodohan nyata dibuat oleh Shafie, dia telah sabotaj SFI, dalam masa sama sekarang ini apabila rakyat dalam keadaan susah, khususnya pekerja di SFI, dia telah datang ke SFI kononnya mahu menawarkan bantuan,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan mahkamah terhadap Shafie sekiranya dakwaan Tengku Fuad berasas.

“Kami juga akan berbincang dengan panel peguam kami dan melihat ruang yang ada untuk menyaman Shafie.

“Jika ada ruang, kita akan berbincang dengan pekerja-pekerja SFI untuk menyaman Shafie Apdal kerana dialah punca SFI ini ditutup.

“Ini menunjukkan bahawa betul apa yang dinyatakan oleh Tengku Fuad ini menuduh punca SFI ditutup sebab disabotaj oleh Shafie Apdal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette