Kereta pacuan empat roda terbalik mengakibatkan pasangan suami isteri tercedera dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kuala Kubu Bharu petang tadi. - Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di  di KM 407.4 (PLUS) Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Selatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pasukannya menerima panggilan awam mengenai insiden kemalangan itu pada jam 6.10 petang tadi.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu telah bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

Nahas itu berlaku apabila Mitsubishi Triton yang dinaiki pasangan berkenaan dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

“Pasangan itu sedang dalam perjalanan dari ibu negara menuju ke Kedah sebelum terlibat dalam nahas tersebut,” katanya dalam kenyataan lewat petang tadi.

Kereta pacuan empat roda terbalik mengakibatkan pasangan suami isteri tercedera dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kuala Kubu Bharu petang tadi. – Ihsan Bomba Selangor

Tambah beliau, akibat daripada kejadian itu, kedua-dua mangsa warga tempatan anggaran berumur lingkungan 30-an tersepit dalam kenderaan tersebut.

Jelasnya lagi, lelaki itu hanya mengalami kecederaan ringan dalam insiden itu dan berjaya keluar dari kenderaan tersebut.

“Manakala, isterinya di tempat duduk penumpang telah mengalami kecederaan di bahagian muka.

“Wanita yang tersepit di dalam kereta selama 20 minit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak pasukan perubatan Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,” tegasnya.-MalaysiaGazette