Sebahagian pengunjung yang hadir pada Karnival Kerjaya PUO 2023 yang berlangsung di Dewan Jubli PUO pada Selasa. - Foto Ihsan PUO

IPOH – Lebih 300 peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri telah ditawarkan sepanjang program Karnival Kerjaya Politeknik Ungku Omar (PUO) 2023 yang telah dihadiri lebih 1,000 pengunjung terdiri daripada para pelajar, alumni
dan pencari kerja di sekitar Bandar Raya Ipoh.

Penganjuran Program Karnival Kerjaya Politeknik Ungku Omar 2023 bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan PUO, memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai peluang kerjaya di industri serta menghadiri temu duga bagi tujuan penempatan latihan industri atau mendapatkan pekerjaan.

Pihak industri juga berpeluang mengenal pasti calon yang berpotensi bagi tujuan penempatan latihan industri atau tawaran pekerjaan dan seterusnya mengukuhkan kolaborasi progresif antara industri dan Politeknik Ungku Omar.

Politeknik Ungku Omar dalam kenyataan berkata, sebanyak 13 syarikat industri dan 2 institusi pendidikan tinggi telah menyertai program
dua hari ini yang bermula pada 10 dan 11 Oktober 2023.

Pengisian aktiviti sepanjang Karnival Kerjaya PUO 2023 seperti Seminar TVET, sesi perkongsian industri dan temu duga penempatan latihan industri dan pekerjaan menjadi tumpuan utama para pengunjung.

Rakan industri dan institusi pendidikan tinggi yang terlibat dalam Karnival Kerjaya Politeknik Ungku Omar 2023 adalah Hovid Berhad, PwC Malaysia, Plexus Manufacturing Sdn. Bhd., Tetra Pak (M) Sdn. Bhd, Hartalega NGC Sdn. Bhd, Daikin Malaysia Sales & Service Sdn. Bhd, Unisem (M) Berhad, SLB (Schlumberger WTA Sdn Bhd), Genting Malaysia Berhad, Synergy Group, Intel Microelectronics (M) Sdn Bhd, Azam Achievers Management, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sesi temu duga terbuka yang diadakan telah menawarkan sekurang-kurangnya 300 peluang pekerjaan dan latihan industri dalam pelbagai bidang TVET sekali gus membantu meningkatkan peluang pencari pekerjaan memperoleh kerjaya yang bersesuaian.

Melalui program ini juga, PUO turut menandatangani tiga sijil kolaborasi strategik bersama-sama syarikat Sapura Energy Berhad, Sandaran Impian Sdn. Bhd. dan Chen & Co Tax Services Sdn. Bhd. yang bakal menyaksikan kerjasama dalam bidang Kejuruteraan dan Perbankan Perakaunan. – MalaysiaGazette