KUALA LUMPUR – Rancangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menambah bilangan kolej vokasional yang bakal menawarkan kursus kemahiran dalam industri kenderaan elektrik (EV) antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu rancangan KPM untuk menambah kursus-kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih relevan seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Pada sesi sama, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula ingin tahu usaha kerajaan dalam mengatasi kes keganasan melibatkan “along” atau pemberi pinjaman wang tanpa lesen memandangkan berlaku peningkatan kes membabitkan kerosakan harta benda awam.
Tan Kok Wai (PH-Cheras) pula dijangka meminta kerajaan untuk menyatakan kekurangan dikenal pasti dalam sistem kesihatan negara terutamanya semasa COVID-19 yang tidak konsisten dengan aspirasi “Kesihatan untuk Semua” serta rancangan reformasi sistem penjagaan kesihatan menyeluruh yang akan dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023 turut dijadual dibentang bagi bacaan kali kedua, hari ini.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt hingga 30 Nov ini. – Bernama