TANJONG MALIM – Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) mencipta satu lagi detik bersejarah dengan pemeteraian Perjanjian Kolaborasi Utama (MCA) antara DRB-HICOM Berhad (DRB-Hicom) dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) hari ini.
MCA ini menetapkan prinsip-prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek AHTV, termasuk peranan khusus yang perlu dilaksanakan untuk pembangunan dan inisiatif promosi.
DRB-Hicom berkata, MCA ini menetapkan prinsip-prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek AHTV, termasuk peranan khusus yang perlu dilaksanakan untuk pembangunan dan inisiatif promosi.
Perjanjian hari ini akan membawa kerjasama antara DRB-Hicom dan Geely ke peringkat seterusnya.
Perkembangan terbaharu ini adalah susulan daripada pemeteraian Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HOA) oleh DRB-Hicom dan Geely awal tahun ini di Forum Perniagaan Malaysia-China di Beijing.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hartanah dan Perancangan & Strategi Korporat, Azri Zaharuddin telah menandatangani bagi pihak DRB-Hicom manakala Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi, Dr Wei Mei menandatangani bagi pihak Geely.
Majlis yang diadakan di Proton Tanjong Malim ini, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; turut hadir bersama ialah Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian; Chang Lih Kang sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak; Eric Li, Pengerusi Geely Holding serta Syed Faisal Albar selaku Pengerusi Proton.
Selain MCA, pemeteraian HOA antara Altel Communications Sdn. Bhd. (Altel) dan syarikat pelaburan strategik Geely, Zhejiang Geespace Technology Co. Ltd. (Geespace) turut berlangsung di sini.
HOA memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi dan akan mempercepatkan perlaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor-sektor seperti pelabuhan pintar.
Mencerminkan kepentingan strategik AHTV, Anwar telah mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Projek AHTV peringkat tertinggi sebelum majlis menandatangani perjanjian tersebut.
AHTV akan menarik pelaburan tempatan dan luar negara yang akan mendorongnya menjadi sebuah hab automotif antarabangsa untuk neighborhood electric vehicle (NEV).
Tumpuannya bukan sahaja kepada pengeluaran kereta pelbagai jenama, tetapi juga dalam pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk NEV.
Ini akan memperluaskan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan berteknologi tinggi. – MalaysiaGazette