KUALA LUMPUR – Pengacara popular, Elly Mazlein sah secara rasmi tidak lagi terlibat mengendalikan All Stars Gegar Vaganza (ASGV) selepas tiga minggu berada di pentas program berkenaan.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro iaitu Raqim Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu, Elly atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom membuat keputusan mengundurkan diri atas sebab-sebab peribadi.
“Dengan rasa berat hati Astro dan Kak Lina (Elly Mazlein) ingin mengumumkan pengunduran Kak Lina dari program All Stars Gegar Vaganza atas hal-hal peribadi. Pihak Astro menghormati keputusan yang diambil.
“Pastinya para peminat Kak Lina masih berkesempatan untuk menonton personaliti yang disayangi ramai menerusi program-program Astro yang akan datang,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 43, turut mengucapkan penghargaan buat peminat yang telah banyak memberi sokongan terhadapnya sepanjang mengendalikan program tersebut.
Sementara itu, menerusi hantaran di Instagram, Elly memuat naik perkataan maaf bersama paparan skrin berita mengenai pengunduran dirinya itu.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong Kak Lina sepanjang siaran All Stars Gegar Vaganza. Sesungguhnya saya amat menghargai,” ujarnya.
Elly merupakan pengacara ASGV bergandingan bersama Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Dia juga terlibat sebagai pengacara dalam Gegar Vaganza musim kesembilan tahun lalu menggantikan Jihan Muse yang sedang bercuti selepas melahirkan anak kedua. – MalaysiaGazette
Bukan nak bandingkan antara Jihan dan Elly, tapi memang minat kat Elly tu. Gegar Vaganza hidup bila Elly dan Nabil buat lawak. Anyway, all the best to Elly for your next show.