KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Kemanan, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Johari berkata, perkara itu perlu dilakukan dalam tempoh 60 hari setelah pihaknya menerima surat daripada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Saleh, hari ini.
“Pada 4 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Piliham Raya 1954 (Akta 5) yang mengisytiharkan bahawa pilihan raya umum bagi kawasan Parlimen P.040 Kemaman pada 19 November 2022 adalah terbatal.
“Penyandang jawatan, Che Alias bin Hamid telah tidak mengemukakan rayuan sehingga tempoh rayuan berakhir pada 10 Oktober 2023 selaras dengan Seksyen 36A Akta 5 kepada pihak Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Hakim Pilihan Raya pada 26 September 2023 yang mengisytiharkan pilihan raya umum bagi kawasan Parlimen P.040 Kemaman pada 19 November 2022 adalah terbatal.
“Sehubungan dengan itu, pihak SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh kekosongan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Awal hari ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR akan mengadakan satu mesyuarat bagi menetapkan tarikh PRK Parlimen Kemaman pada 17 Oktober depan.
Ia susulan Laporan Hakim Pilihan Raya susulan keputusan petisyen pilihan raya di mahkamah yang membatalkan keputusan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Terengganu pada 19 November 2022 lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh sebanyak 65,714 undi menewaskan Ahmad yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.
Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi. – MalaysiaGazette