KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan melihat secara terperinci dan mengkaji kaedah bagi menangani isu penghijrahan tenaga mahir (brain drain) dalam kalangan kakitangan perubatannya.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, kajian itu perlu dilaksanakan kerana terdapat jurang gaji yang besar antara sektor kesihatan awam dan swasta.
“Kita akan terus mengkaji, melakukan libat urus dan melihat bagaimana cara untuk kita memperbaiki sistem kesihatan awam.
“Langkah ini juga bertujuan untuk menarik orang ramai untuk kekal berurusan di fasiliti awam berbanding swasta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Zaliha berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang ingin tahu mengenai pendekatan KKM dalam menangani isu ‘brain drain’ yang boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan awam.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, antara pendekatan lain diambil oleh KKM adalah bekerjasama dengan pihak swasta bagi memastikan mereka juga memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Satu lagi pendekatan yang kita lakukan dengan pihak-pihak swasta ialah mengoptimumkan perkhidmatan kesihatan di peringkat awam dan swasta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette