KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menawarkan jawatan sensitif kepada mana-mana pegawai yang berminat dengan syarat mereka perlu melakukan pengisytiharan harta dan menjalani audit setiap tahun.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, antaranya Pegawai Risikan dan Operasi, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) dan pegawai di Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).
Menurutnya, pegawai yang berminat perlu mengemukakan surat permohonan berserta borang borang pengisytiharan harta untuk proses saringan terlebih dahulu.
“Saya membuat tawaran terbuka, pegawai dan anggota yang ingin menjawat jawatan sensitif itu sila kemuka surat permohonan.
“Audit berterusan akan dilakukan kepada mereka yang ada dalam unit sensitif ini yang akan dilakukan setahun sekali,” katanya pada sidang media, di Bukit Aman hari ini.
Sementara itu, Mohd Shuhaily menjelaskan, video ucapannya yang dimuat naik di akaun TikTok milik JSJ PDRM baru-baru ini sebenarnya hanya lanjutan daripada saranan Timbalan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negara sebelum ini.
“Niat saya memuat naik (video) di TikTok CIDRMP kerana saya hanya dapat berjumpa dengan 130 pegawai sedangkan saya ada 10,000 anggota dan pegawai dalam jabatan (JSJ) ini.
“Apabila dimuat naik, masyarakat memberikan maklum balas, ini menunjukkan ramai orang yang tahu (perkara ini) cuma orang tidak bercakap perkara itu.
“Sekiranya mereka mampu, maka berikan sebab ia mampu, saya tidak melarang kalau beli kereta dengan sumber kewangan yang sah, siapa saya untuk melarang menggunakan kereta berkenaan,” katanya.
Sabtu lalu, satu klip video Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, tular di media sosial selepas dimuat naik jabatan itu.
Majlis amanat itu dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen dan Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh negara.
Klip video majlis itu yang dimuat naik di Facebook rasmi PDRM memaparkan Shuhaily memberi amaran keras terhadap pegawai bawahannya supaya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah. – MalaysiaGazette