Cha Hoong Fong

KUALA LUMPUR – Polis memandang serius berhubung kes pukul orang kena tuduh (OKT) dalam tahanan siasatan narkotik yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong memberi jaminan polis tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Pihak polis turut memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus dan adil berhubung perkara ini tanpa melindungo mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu video kes pukul OKT yang tular hari ini menerusi aplikasi telegram Edisi Siasat.

Katanya, semakan mendapati kejadian itu berlaku di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah di Ibu Pejabat Klang Selatan pada 2 Ogos lalu, kira-kira 10.30 pagi.

Tambah beliau, kes itu melibatkan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Malah, OKT itu telah dituduh di Mahkamah Klang pada 8 Ogos lalu di bawah seksyen yang sama. – MalaysiaGazette