Mohd Kamil Ibrahim

KUANTAN – Rakyat Pahang menzahirkan solidariti bersama umat Islam di Palestin mengutuk kekejaman rejim Israel yang tidak berperikemanusiaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim berkata, pihaknya senada akan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengecam tindakan rejim Israel dihentikan segera.

”Kami rakyat Pahang akan terus bersama dengan saudara kami di Palestin untuk keamanan dan mengutuk sekerasnya kekejaman rejim Israel yang tidak berperikemanusiaan.

”Hak rakyat Palestin yang dicabuli sejak 75 tahun lalu juga harus dikembalikan dan kekejaman rejim Israel harus diambil tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kamil, Amerika Syarikat juga perlu jujur dan masuk campur dengan isu ini supaya tidak ada sikap pilih kasih untuk mengenakan sekatan terhadap Israel seperti mana yang berlaku terhadap Rusia dengan Ukraine.

”Kita ada hampir dua billion saudara Islam di seluruh dunia harus bersatu memberi harapan kepada rakyat Palestin. Kami cukup kecewa hak rakyat Palestin terus diabaikan oleh masyarakat antarabangsa dari dahulu hingga kini,” katanya lagi.

Dalam pada itu Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) dalam kenyataan hari ini turut menyifatkan tindakan tentera Israel menceroboh Palestin dan merampas hak penduduk Palestin sebelum ini satu pencabulan hak asasi manusia.

MBNP mengutuk sekeras-kerasnya keganasan rejim zionis Israel terhadap Palestin dan berdoa agar konflik berkenaan segera berakhir  dan kembali aman seperti sediakala. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast