KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur  menahan tiga individu termasuk dua anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta rasuah berjumlah kira-kira RM1,500.

Sumber memberitahu, wang itu dipercayai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pemandu kenderaan yang menggunakan dan memiliki lesen perdagangan kenderaan motor (trade  plate)

Ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 36 hingga 37 tahun itu ditahan semalam selepas hadir membantu siasatan di pejabat SPRM Kuala Lumpur antara kira-kira jam 5 petang hingga 7 malam.

“Dua anggota penguat kuasa tersebut yang menaiki motosikal dipercayai telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu menggunakan nombor trade plate syarikat kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Anggota penguat kuasa tersebut kemudian memberitahu kepada pemandu kenderaan itu bahawa nombor trade plate yang digunakan adalah palsu,” katanya.

Tambah sumber, salah seorang anggota penguat kuasa tersebut telah meminta wang kira-kira RM1,500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kenderaan terbabit.

Susulan penahanan tersebut, ketiga-tiga suspek termasuk seorang lelaki yang bertindak sebagai runner telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi untuk reman.

Majistret Illi Marisqa Khalizan telah membenarkan permohanan reman selama enam hari ke atas mereka bermula hari ini sehingga 17 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut SPRM.

Dalam pada  itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi hari ini telah mengesahkan penahanan ketiga tiga individu tersebut.

Katanya, kes sedang disiasat dibawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast