Seorang warga emas tercedera selepas bergelut ketika cuba disamun empat suspek bersenjata parang dalam kejadian di USJ 12 Subang Jaya semalam. Ihsan IPD Subang Jaya.

SUBANG – Seorang warga emas cedera dalam cubaan samun oleh empat lelaki bersenjatakan parang di USJ 12 Subang Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.33 malam.

“Siasatan polis selepas bergegas ke lokasi kejadian mendapati mangsa seorang warga tempatan berusia 66 tahun telah cuba disamun oleh empat lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang menunggang motosikal jenis Yamaha Y150Z dengan warna nombor pendaftaran tidak pasti.

“Suspek yang bersenjatakan parang cuba merampas kereta jenis Toyota Camry milik mangsa tetapi gagal kerana mangsa telah memberanikan diri dan melawan dengan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Azlan, siasatan mendapati suspek dipercayai mengekori kenderaan mangsa selepas dia habis bekerja untuk pulang ke rumah.

Tambah beliau, mangsa luka di bahagian pipi akibat bergelut dengan suspek bersenjatakan parang.

“Siasatan sedang dijalankan oleh polis di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana cuba samun dengan bersenjata sehingga mendatang kecederaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebatan,” ujarnya sambil menambah usaha mengesan dan menangkap keempat-empat suspek sedang dilakukan polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Faiz Naufal Zakaria di talian 019-4858907. – MalaysiaGazette